CHAT ROOM CHAQ ULTIMATE ZONE

CHAQ @ HIP BERITA HARIAN

Peluang Black, Chaq ke final cerah
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

SAINGAN sengit di antara Black (kiri), Fira dan Chaq dalam program realiti Mentor musim ketiga



Markah sentiasa konsisten, tapi usah pandang remeh kehadiran Fira

DUA minggu lagi program realiti Mentor bakal melabuhkan tirainya dan penyingkiran protege Adibah Noor, Thye, Ahad lalu seakan memberi bayangan awal dua nama yang bakal melangkah ke peringkat akhir 12 Julai nanti melihat kedudukan konsisten mereka setiap minggu.

Jika Black, protege Mas Idayu dan Chaq, protege Ajai, berjaya menempah tiket ke final, ini bermakna buat pertama kalinya dalam sejarah program realiti tiada peserta perempuan layak ke peringkat akhir.



Bagaimanapun kewujudan protege Lah Ahmad, Fira tidak boleh dipandang remeh kerana satu-satunya peserta wanita yang masih bertahan di dalam program itu masih mempunyai satu lagi peluang minggu depan, sebelum keputusan rasmi diraih. Siapa tahu, minggu depan kejutan berlaku sehingga mengakibatkan sama ada peminat Black mahu pun Chaq, terduduk.

Sehingga Ahad lalu, bayangan juara seakan berat kepada Black kerana peserta itu berjaya meraih markah tertinggi sebanyak 63.3 peratus markah keseluruhan. Markah dibahagikan tiga bahagian membabitkan juri profesional sebanyak 50 peratus, diikuti undian sms 30 peratus manakala 20 peratus lagi ditentukan juri awam.

Mengikut rapat di belakangnya ialah Chaq yang berjaya mengumpul sebanyak 54.9 peratus markah. Fira pula hanya mampu berpuas hati dengan 43.1 peratus dan Thye pula memperoleh markah tercorot 39.8 peratus sekali gus memusnahkan harapannya untuk ke final.

Setakat ini, Black dilihat memiliki kelebihan berbanding peserta lain kerana kekuatan vokalnya. Dia yang menyanyikan lagu Tasik Utara, Cek Mek Molek dan Hijau itu menerima pujian dua juri profesional Syafinaz dan Hattan. Bagaimanapun, jejaka itu dinasihatkan supaya memberi lagi perhatian kepada vokal berbanding persembahan.

Penekanan itu menyebabkan Mas Idayu keliru kerana sesetengah juri tidak begitu melihat inisiatif yang cuba ditonjolkan melalui persembahan mereka sebaliknya mahu fokus kepada vokal semata-mata.

“Memang sukar hendak menelah kehendak juri tetapi apa yang perlu kami lakukan adalah berusaha membuat persembahan sebaik mungkin. Walaupun kedudukan Black selesa tetapi kami tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi. Kalau saya berasa selesa dengan kedudukan sekarang, tentu saya hanya duduk goyang kaki tanpa melakukan apa-apa.

“Tetapi sehingga ke saat ini, saya akan terus berusaha untuk mendidik dia sebaik yang mungkin dan memastikan dia menonjol dalam setiap persembahannya,” kata Mas Idayu.

Black pula, meskipun berjaya menundukkan Chaq, Thye dan Fira menganggap perjalanannya dalam Mentor masih lagi jauh. Jejaka dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur itu tidak mahu lekas berasa yakin dengan pencapaiannya sekarang. Sebaliknya dia akan berkerja seiring dengan Mas Idayu untuk memastikan persembahannya menyerlah.

Walaupun kedudukan mereka kini goyah, Lah dan Fira pula tidak menganggap perkara itu sebagai ancaman sebaliknya melihat ia dari sudut positif dan akan bekerja dengan lebih keras lagi sebagai persediaan untuk ke konsert penentuan minggu depan.

Kata Lah, dia akan melatih anak didiknya itu dengan kaedah tersendiri dan tidak mahu kedudukan goyah itu menjadi satu beban buat dia dan protegenya.

“Kedudukan ini sesekali tidak mempengaruhi kami sebaliknya ia memberikan Lah lebih kekuatan untuk berusaha lagi. Kami akan bekerja perlahan-lahan dan Lah akan cuba memberikan tunjuk ajar yang terbaik untuk Fira,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta favorite, Chaq pula menganggap persaingan sengit antara dia dan Black sebagai satu motivasi untuknya memantapkan lagi persembahannya.

“Chaq tidak menganggap Black sebagai ancaman kerana dia ada kelebihan dari sudut vokalnya yang tersendiri. Apa yang perlu Chaq lakukan adalah berusaha untuk mantapkan lagi mutu vokal serta persembahan dengan mendapatkan lagi bimbingan daripada abang Ajai,” katanya.

0 comments: