CHAT ROOM CHAQ ULTIMATE ZONE

HIP ( 8 julai 2009 )

Tiada agenda tersembunyi

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


TIGA protege bersama mentor mereka sempat beraksi sebaik saja konsert berakhir.

Sejak Mentor mula bersiaran TV3 tidak pernah berjanji bilangan peserta yang layak ke akhir

MENGULANGI kembali keputusan yang pernah dibuat oleh pasukan produksi Mentor 2 sewaktu peringkat separuh akhir tiga tahun lalu, musim ketiga program realiti ini sekali lagi menyaksikan tiga peserta berentap di peringkat akhir untuk membawa gelaran juara Mentor 3 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva.

Jika sebelum ini Nieyl diterima masuk pada saat akhir, tetapi musim ini nasib nampaknya menyebelahi Camellus De’lelli Anam atau Chaq apabila diserap semula selepas mendapat markah undian paling rendah berbanding pesaingnya Black dan Fira.

Barangkali itu bukan satu kejutan kerana dalam apa juga program realiti, macam-macam boleh berlaku atau dilakukan. Pun begitu keputusan berada di tangan mereka namun apakah relevannya mereka menyerap semua Chaq sedangkan pengundi sudah pun membuat keputusan memilih dua yang terbaik sebagai peserta ke peringkat final? Apakah pihak produksi tidak yakin dengan kemampuan dua peserta sehingga terpaksa memasukkan Chaq?

Ketika diajukan persoalan ini kepada penerbit dan pengarah Mentor 3, Muhamad Sufian Isa, dia menafikan keputusan mereka memasukkan Chaq sebagai peserta akhir sebagai mempunyai agenda tersembunyi.

“Sejak awal lagi program ini disiarkan, kami tidak pernah menjanjikan bilangan peserta yang layak bertanding ke peringkat akhir. Pemilihan tiga peserta ke peringkat akhir juga dibuat di saat akhir hasil perbincangan dengan pihak TV3. Chaq diserap semula kerana kami ingin memberi peluang kepadanya untuk menunjukkan persembahan lebih baik kerana kami mendapat tahu malam ini keadaan kakinya tidak begitu baik kerana terseliuh.

JAY JAY dan Ning Baizura dijemput sebagai pengkritik pada malam konsert hujung minggu lalu.

“Jadi saya harap selepas ini Chaq mampu memberikan persembahan lebih baik dan sekali gus memberikan saingan kepada dua peserta lain serta menjadikan program final itu lebih menarik,” kata Sufian ketika ditemui di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam sejurus selepas program peringkat separuh akhir Mentor 3 itu tamat.

Namun begitu, kenyataan itu seakan-akan bercanggah dengan situasi sebenar kerana sewaktu pertandingan sedang berlangsung, dua juri profesional yang menilai persembahan malam itu iaitu Ning Baizura dan Jay Jay memberikan pujian terhadap persembahan tarian yang ditunjukkan Chaq sewaktu membuat persembahan berkonsepkan tribue kepada penyanyi terkenal, Michael Jackson.

Ini membuktikan bahawa Chaq tidak mempunyai masalah dari segi persembahan tetapi apa yang dipertikaikan juri adalah kemampuannya menyanyi.

Malah, Jay Jay berterus terang mengatakan vokal Chaq berada di tahap yang cukup lemah kerana bernada rendah ketika menyanyikan lagu milik bintang tersohor itu.

FIRA bersama Chaq dan Black bakal menghangatkan malam final Mentor pada 12 Julai.

“Kemasukan Chaq sebagai finalis bukanlah kerana simpati terhadap kecederaan yang dialaminya itu semata-mata tetapi seperti yang saya tegaskan tadi, keputusan untuk membawa tiga peserta akhir memang dibuat di saat akhir dan kami hanya mahukan persembahan pada malam terakhir itu nanti lebih menarik dan ramai penonton terhibur,” katanya.

Ditanya apakah kenyataan yang dikeluarkannya itu memberi makna bahawa kehadiran Black dan Fira tidak cukup untuk menghangatkan suasana malam final yang akan berlangsung di lokasi yang sama 12 Julai ini, Sufian menegaskan apa yang dinyatakan bukanlah bermaksud sebegitu.

“Saya tahu setiap dari mereka mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya.

Melihat kepada hadiah yang ditawarkan, hanya si juara dan pemenang tempat kedua diberikan habuan manakala tempat ketiga hanya menggigit jari saja. Jadi terlanjur meletakkan tiga finalis, tidakkah penganjur untuk turut memberikan hadiah kepada pemenang tempat ketiga.

“Pada kami hadiah bukanlah perkara utama kerana yang penting adalah pengalaman mereka beraksi di peringkat akhir. Jadi saya harap kepada yang mendapat tempat ketiga nanti, janganlah kecewa kerana tiada hadiah,”jelas Sufian.

Mengenai konsep persembahan pada malam final nanti, Sufian akui dia turut pening memikirkan hal itu.

“Saya kena fikirkan yang lebih hebat selepas ini,” katanya.

3 finalis janji persembahan terbaik

BERHEMPAS pulas mereka berlatih. Malah ada di antaranya sanggup menerima hukuman rotan hanya semata-mata ingin memberikan yang terbaik untuk penonton yang berusaha mengundi mereka. Namun selepas berusaha gigih dan mempamerkan persembahan yang mengagumkan juri, tiba-tiba penganjur membuat keputusan untuk membawa semua peserta ke peringkat akhir.

Tindakan itu seolah-olah mengetepikan usaha dua peserta lain yang terpaksa bertungkus lumus semata-mata untuk memastikan melangkah ke peringkat akhir. Andainya tahu bahawa semua peserta separuh akhir Mentor 3 layak ke peringkat akhir pastinya mereka tidak perlu bersusah payah menyanyikan lagu yang cukup tinggi julatnya seperti yang dilakukan Black apabila menyanyikan Madah Berhelah secara duet bersama mentornya, Mas Idayu, serta terpaksa memanggil segerombolan manusia menarikan tarian poco-poco seperti yang dibuat Fira.

“Sejak awal lagi Black harapkan kami meneruskan perjuangan ke peringkat akhir. Bukannya apa, seronok kerana Black berasakan mereka ini mempunyai vokal yang bagus dan ini menjadikan Black lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik.

“Apabila diumumkan sebagai peserta yang layak ke peringkat final, memang terkejut dan tak sangka. Tapi Black bersyukur kerana segala usaha Kak Mas Idayu terbayar dan Black akui, memang berbaloi kena rotan,” kata Black atau Hanifah Mohd Hanafiah ini.

Berbanding Black dan Chaq yang sememangnya menjadi peserta pilihan untuk ke final, Fira turut mengakui dia terkejut apabila diumumkan sebagai peserta akhir Mentor 3.

“Bukan mudah sampai ke peringkat ini. Setiap minggu Fira bersama abang Lah berlatih untuk memastikan kami dapat ke peringkat akhir.

“Jadi apabila berjaya, saya akan pastikan latihan saya bertambah dua kali ganda,” katanya sambil dipersetujui Lah yang berada di sebelah.

Bagi Chaq, sama ada berjaya ke akhir atau tidak bukanlah sesuatu yang amat difikirkannya kerana yang penting, dia berpeluang mempelajari sesuatu sepanjang berada di dalam pertandingan itu.

“Apabila diumumkan saya mendapat undian rendah, saya menerimanya dengan positif sehinggalah saya diberitahu oleh abang Ajai yang saya terpilih ke peringkat akhir bersama Black dan Fira. Terima kasih kepada TV3 yang masih memberi peluang untuk beraksi di peringkat akhir,” janjinya.



---------------------------------------------------------------



Dengarnya... Tak puas hati Chaq masuk final Mentor

Oleh Normah Becok


Ajai dan Chaq

TELEFON di pejabat Cik Normah tak henti-henti berdering-dering dua tiga hari lalu. Semuanya gara-gara konsert separuh akhir pertandingan Mentor musim ketiga. Keadaan itu memaksa teman sepejabat Cik Normah yang sedang sibuk menaip artikel melayan panggilan.

Cik Normah yang berkesempatan menonton konsert itu di rumah pun tak kuasa melihat ‘drama’ yang berlaku malam itu. Alih-alih, protege Ajai, Chaq tiba-tiba layak ke peringkat final pertandingan itu pada 12 Julai ini. Sebelum ini, Cik Normah dapat tahu hanya dua peserta yang bakal ke peringkat akhir.

Tetapi biasalah, pihak produksi program sebegini selalu saja buat ‘kejutan’ saat akhir. Cik Normah sudah biasa dengan ‘drama’ sebabak yang menjengkelkan ini. Letih pun ada. Salah seorang pemanggil dari Alor Gajah menyuarakan ketidakpuasan hatinya dengan kemasukan Chaq untuk sama-sama bersaing dengan Black dan Fira.

Kata pemanggil itu, perlu ke semua ini? Tidak dinafikan sejak awal lagi, Cik Normah lihat potensi Chaq untuk ke peringkat akhir. Memang abang kepada penyanyi Stacy itu mempunyai pakej lengkap untuk bergelar penghibur.

Katanya lagi, pihak produksi Mentor 3 seolah-olah ‘menipu’ peminat setia yang berlumba-lumba mengundi untuk memastikan peserta kegemaran mereka bolos ke peringkat akhir. Anak-anak dan jiran pemanggil itu pun turut bengang dengan tindakan itu.

Menurut pemanggil yang menggelarkan dirinya Abang Man dari Dungun, Terengganu dia melihat situasi yang berlaku itu seolah-olah pihak produksi program terbabit memang mahukan Chaq ke peringkat akhir sedari awal lagi.

Sementara itu pula, kata Kak Rokiah pemanggil dari Selayang, Selangor pula melihat ‘keceluparan’ mulut Ajai yang mencelah komen juri jemputan sebagai antara punca yang membuatkan peratusan undian terhadap Chaq menurun. Katanya, kerana mulut Ajai, nasib Chaq seperti telur di hujung tanduk. Makan diri balik.

Macam-macam lagi komen yang Cik Normah dan rakan sepejabat terima mengenai perkara itu. Untung Chaq, walaupun dapat peratusan terendah, dia masih layak dan ditarik masuk ke peringkat akhir. Entah-entah ada konspirasi nak menjadikan Chaq juara. Siapa tahu kan? Entah-entah pengundi Chaq pun sudah mula beralih arah ke Black dan Fira.


*artikel dari berita harian

0 comments: