CHAT ROOM CHAQ ULTIMATE ZONE

'Kejutan bukan dirancang'

Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

Rap
SUKAR dijangka! Itulah yang mampu dikatakan ketika diumum Chaq bersama mentornya, Ajai memperoleh peluang kedua melayakkan diri ke peringkat akhir Mentor 3 oleh pengacara Ally Iskandar Mohd Mardzi.




Pengumuman yang tidak diduga itu membibitkan rasa ketidakpuasan hati sesetengah pihak yang mempersoal serta mempertikai kewajaran keputusan itu. Malah, kedengaran suara 'tipu mana boleh begini' ketika program realiti itu menutup tirai konsert separuh akhir.

Sebelum ini, dari awal lagi diuar-uarkan hanya dua peserta yang berjaya meraih markah tertinggi pada konsert separuh akhir layak bertanding ke peringkat akhir Mentor 3 yang dijadual berlangsung di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, pada 12 Julai ini.

Kalau diikut aturannya, Chaq atau nama sebenarnya Camellus De'lelli Anam yang selama ini menjadi pilihan penonton dan sentiasa mengumpul peratusan kedua tertinggi selepas Black tidak layak ke peringkat akhir apabila hanya mengumpul 56.5 peratus berbanding Fira yang berjaya memperoleh 60 peratus.

Keunggulan Black tidak perlu dipertikaikan lagi. Malah, sehingga Ahad lalu, bayangan juara seakan-akan berat kepada Black kerana peserta itu berjaya meraih markah tertinggi sebanyak 76.4 peratus markah keseluruhan.

Justeru, secara automatiknya konsert malam itu menjadi milik Black yang menyampaikan lagu Yang Tak Pernah/Telinga Ke Tulang/Madah Berhelah sekali gus melayakkannya menerima hadiah jam tangan eksklusif jenama Tissot bernilai RM3,000.

Pemberian markah dibahagikan kepada tiga bahagian membabitkan juri profesional sebanyak 50 peratus, diikuti undian SMS 30 peratus manakala 20 peratus lagi ditentukan juri awam.

Memulakan persembahan duet bersama mentornya, Ajai menerusi lagu Mengenangmu, Chaq berjaya menambat perhatian dua juri profesional, Jay Jay dan Ning Baizura.

Bagaimanapun, persembahan kedua yang memberi penghormatan kepada legenda pop dunia, Michael Jackson menerusi lagu Smooth Criminal, Beat It, Billy Jean dan You Are Not Alone gagal menarik perhatian juri. Rata-rata bersetuju Chaq mempunyai daya tarikan tarian yang bagus, namun dari segi keutuhan vokal menyanyikan lagu pop dunia itu, tidak menyerlah.

Kejutan malam itu, akhirnya menjurus kepada persoalan kewajaran diadakan konsert separuh akhir. Malah, timbul persepsi menyatakan lebih baik konsert separuh akhir itu terus diangkat taraf menjadi konsert akhir Mentor 3 saja sekiranya tiada penyingkiran dilakukan.

Ketika ditemui selepas konsert separuh akhir, Penerbit dan Pengarah Mentor, Muhamad Sufian Isa berkata kejutan membenarkan Chaq meneruskan perjuangan di peringkat akhir bukanlah satu rancangan. Malah, kata Sufian, keputusan itu diambil berdasarkan sebab tertentu meliputi semua pihak dan bukanlah berlandaskan gimik serta faktor keuntungan saja.

"Kami akui pada awalnya mensyaratkan dua peserta saja layak ke peringkat akhir. Tetapi, selepas perbincangan bersama produksi, kami dapati Chaq ada potensi serta bakat untuk diketengahkan.

"Jadi, apa salahnya daripada hanya dua peserta saja bertanding, kita tambah seorang lagi untuk memeriahkan konsert final Mentor 3.

"Ingin saya tegaskan, tiada perancangan serta dalang sebalik penerimaan masuk Chaq. Lagipun, ini program realiti dan pelbagai keputusan boleh diambil saat akhir. Bukan menidakkan keputusan diterima, tetapi sebagai sebuah stesen TV, kami berperanan membantu mereka yang dilihat berpotensi besar dalam dunia muzik dengan memberi peluang kali kedua kepada Chaq.

"Peluang diberi pun bukanlah semua, tetapi melihat kepada potensi protege itu. Lagipun, umum mengetahui Chaq sebelum ini sentiasa mendapat kedudukan baik dari segi pemarkahan. Justeru, mungkin terdapat sedikit kecacatan persembahan Chaq malam itu yang mempengaruhi markah diperoleh.

"Disebabkan itu, kami memberikan setiap peserta peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing di konsert akhir nanti. Biarlah penonton menilai persembahan ketiganya dan peluang terakhir ini juga perlu digunakan sebaik mungkin oleh Chaq untuk membuktikan kebolehannya.

"Bagaimanapun, hadiah hanya diberikan untuk juara dan naib juara saja. Pemenang ketiga, tidak disediakan apa-apa hadiah. Bukan apa, sejak kemunculan program realiti ini, ia sememangnya bertujuan mengetengahkan bakat dan bukan hadiah sebagai tarikan utama," jelas Sufian.

Bagi Chaq, dia sememangnya sudah dapat mengagak akan memperoleh markah rendah berbanding rakannya, Black dan Fira, namun terkejut apabila diumumkan turut tersenarai sebagai seorang peserta akhir Mentor 3.

"Semua yang berlaku pada malam ini adalah rezeki. Terima kasih kepada TV3 yang memberi peluang menyerapkan saya untuk turut bertanding peringkat akhir nanti. Sudah tentu saya akan buat persembahan terbaik dengan membaiki kualiti vokal serta tidak mengecewakan Ajai selaku mentor dan peminat yang mengundi saya," katanya.

Ajai selaku mentor, akur dengan undian serta komen yang diberikan juri profesional mengenai Chaq biarpun pada awalnya sedikit mempertikaikan keputusan berkenaan.

"Memang sukar hendak menelaah kehendak juri tetapi apa yang perlu kami lakukan adalah berusaha membuat persembahan sebaik mungkin. Sebagai mentor Chaq sudah tentu saya berazam untuk menebus kekecewaan malam ini dengan memaksimumkan kemampuan yang dia sudah ada," katanya.

Sementara itu, Black dan Fira langsung tidak mencemburui keputusan mengejut itu malah menerima dengan hati terbuka. Tambahan pula, kedua protege ini sememangnya mengharapkan ketiga mereka dapat beraksi bersama di pentas final Mentor 3.

"Selepas tinggal bertiga, kami sudah seperti adik beradik dan sentiasa berharap agar tiada penyingkiran dilakukan. Agak pelik bunyinya, tetapi kami sendiri mahu bersama-sama dapat meneruskan perjuangan di pentas akhir. Alhamdulillah, impian kami terlaksana," ujar Black.

Setakat ini, Black dilihat memiliki kelebihan berbanding peserta lain kerana kekuatan vokalnya. Malah, persembahan pertama dan keduanya di malam konsert separuh akhir itu, menerima pujian dua juri profesional Jay Jay dan Ning Baizura.

Biarpun berjaya menundukkan Fira dan Chaq, Black menganggap perjalanannya dalam Mentor masih lagi jauh dan tidak mahu cepat selesa dengan pencapaiannya ketika ini. Sebaliknya, dia akan bekerja seiring dengan Mas Idayu, mentornya, untuk memastikan persembahan akhir nanti lagi menyerlah.

Keupayaan peserta wanita tunggal, Fira, protege Lah Ahmad tidak boleh dipandang remeh. Persembahannya pada malam itu begitu menonjol dan mendapat pujian dari juri profesional terutamanya apabila Fira mendendangkan lagu Poco Poco bersama dengan mentornya. Fira yang sebelum ini kelihatan biasa saja terus meningkat secara drastik kualiti persembahan.

"Saya bersyukur sampai ke tahap ini. Saya tahu, peserta wanita kurang mendapat undi. Tetapi, saya tidak akan terus mengaku kalah malah belajar serta berusaha memberikan persembahan terbaik. Dulu, saya tidak pandai menari sekarang sudah boleh," beritahu Fira.

Juara pertandingan realiti ini akan menerima hadiah lumayan, protege membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva dan Mentor pula meraih RM100,000 manakala tempat kedua, protege dan mentor memenangi wang tunai RM30,000.


0 comments: