CHAT ROOM CHAQ ULTIMATE ZONE

Peluang Kedua Chaq

Peluang Kedua Chaq

by Syaliza Shapiansuri | 6 Jul 2009




Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia, Chaq mungkin jawapannya. Bersama mentornya, Ajai, Chaq memperoleh peluang kedua untuk melayakkan diri ke peringkat akhir Mentor 3 yang akan berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, 12 Julai depan.

Kejutan yang berlaku ketika separuh akhir malam tadi menyaksikan Chaq atau nama sebenarnya Camellus De’lelli Anam layak menyertai dua rakan, Black dan Fira walaupun hanya mengumpul markah sebanyak 56.5 peratus.

Malah, Chaq yang selama ini menjadi pilihan penonton untuk beraksi di pentas final dan sentiasa mengumpul peratusan kedua tertinggi selepas Black, tidak begitu menonjol malam tadi berbanding Fira yang selama ini dilihat ‘biasa-biasa’ sahaja.

Memulakan persembahan duet bersama mentornya Ajai melalui lagu “Mengenangkanmu”, Chaq dapat mengekalkan vokal yang selama ini menjadi taruhannya.

Walau bagaimanapun, persembahan kedua yang memberi penghormatan kepada legenda pop dunia, Michael Jackson gagal menarik perhatian dua juri profesional, Jay Jay dan Ning Baizura yang rata-ratanya kurang bersetuju dengan pilihan medley Raja Pop itu.

“Semua yang berlaku pada malam ini adalah rezeki. Terima kasih kepada TV3 yang memberi peluang serta menyerap kemasukan saya untuk final nanti,” kata Chaq selepas majlis berakhir.

Akui Chaq, dia tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila dibenarkan meneruskan perjuangan di perigkat akhir.

“Memang terperanjat sebab saya sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Mentor 3 memandangkan markah rendah yang diperolehi. Inilah kejutan yang sangat berharga dalam hidup saya,” jelasnya.

Ajai selaku mentor, akur dengan undian serta komen yang diberikan juri profesional mengenai anak didiknya itu. Azamnya, untuk menebus kekecewaan dan mendidik yang terbaik untuk malam final nanti.

Black & Fira gembira
Keputusan mengejutkan malam tadi diterima dengan hati terbuka oleh dua protégé, Black dan Fira. Tanpa sedikitpun perasaan kecewa, baik Black atau Fira memang mengharapkan ketiga-tiga mereka dapat beraksi di pentas final Mentor 3.

“Selepas tinggal bertiga, kami selalu berharap agar tiada penyingkiran dilakukan dan sama-sama dapat meneruskan perjuangan di pentas akhir. Nampaknya impian kami terlaksana,” kata Fira.

Walaupun sedar kehadiran Chaq menyebabkan salah seorang daripada mereka bakal mendapat kedudukan ketiga dan tidak menerima apa-apa habuan, mereka akur dan tetap bersyukur diberi peluang untuk ke final.

“Saya tahu, peserta wanita kurang mendapat undi. Daripada situ saya belajar dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri. Dulu saya tidak pandai menari, sekarang sudah boleh,” kata Fira, peserta tunggal wanita yang menerima jumlah undi 60.0 peratus malam tadi, sekaligus menewaskan Chaq.

Kejutan bukan dirancang
Biarpun sejak awal mewar-warkan hanya dua peserta bakal ke peringkat akhir, penerbit Mentor 3, Mohd Suffian Isa, mengakui kejutan membenarkan Chaq meneruskan perjuangan di peringkat final nanti bukan gimik yang dirancang sejak awal.

“Memang pada mulanya kami mahukan dua peserta, tetapi selepas perbincangan bersama produksi, kami rasakan lebih menarik andai ketiga-tiga mereka dapat meneruskan persembahan sehingga ke final,” katanya.

Percaya kepada kebolehan dan bakat yang ada pada setiap protégé, Suffian menolak andaian dia dan kumpulan produksi mahu menaikkan Chaq.

“Sebagai produksi terbitan TV3, kami memberikan setiap peserta peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing. Biarlah penonton menilai ketiga-tiganya buat kali terakhir. Dan peluang terakhir ini juga perlu digunakan sebaik mungkin oleh Chaq untuk membuktikan kebolehannya untuk kali terakhir,” tambah Suffian.

Tambah Suffian, walaupun tiga layak ke akhir, hadiah hanya diberikan untuk juara dan naib juara. Bukan sengaja tidak mahu memberi hadiah buat pemenang ketiga, Mentor, sejak awal kemunculannya adalah pentas untuk mengenengahkan bakat, bukan hadiah.


0 comments: