CHAT ROOM CHAQ ULTIMATE ZONE

Gigih mengorak langkah - Harian Metro


Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

Rap
BELUM sempat program realiti Mentor musim ketiga menutup tirai, dia sudah dihambat kontroversi. Semua bermula apabila dia beroleh peluang kedua yang melayakkannya bertanding di peringkat akhir Mentor 3. Pengumuman yang tidak diduga itu membibitkan rasa ketidakpuasan hati sesetengah pihak.

Ini kerana hanya dua peserta yang berjaya meraih markah tertinggi pada konsert separuh akhir saja yang layak bertanding. Walaupun tidak disukai, Chaq atau nama sebenarnya, Camellus De'lelli Anam bekerja keras dan komited memberikan yang terbaik.

Justeru, tidak hairanlah apabila persembahannya malam itu berupaya menggamit hati juri profesional dan awam hingga berjaya merangkul gelaran naib juara. Kini, semuanya sudah berlalu dan Chaq, 21, makin gigih mengorak langkah kerjaya seninya.

Mendapat tunjuk ajar daripada mentornya, Ajai menerusi syarikat rakaman Wake The Baby, milik komposer dan penyanyi terkenal itu, seakan-akan memberi jalan mudah untuknya menembusi pasaran industri hiburan tempatan. Apatah lagi, dengan statusnya sebagai abang kepada juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Stacy sedikit sebanyak mengukuhkan lagi telahan itu.

Ketika ditemui di majlis Warna Warni Aidilfitri di Hotel Brisdale, baru-baru ini, Chaq bersungguh-sungguh menafikan yang dia ingin menumpang populariti adik mahupun mentornya itu.

"Saya tahu perjalanan sebagai penggiat seni bukan mudah kerana banyak liku-liku perlu ditempuhi. Bagaimanapun, tidak pernah terlintas di fikiran untuk menumpang populariti sesiapa.

"Sebagai abang kepada Stacy, sudah tentu saya gembira dengan pencapaiannya itu. Lagipun, sebelum ini kami pernah bersama dalam kumpulan Evoke sebelum dia menyertai AF. Jadi, apa yang dikecapi Stacy ketika ini adalah rezekinya selepas bekerja keras.

"Melihat dia berjaya, membuatkan saya lebih gigih berusaha dan bukan cuba menumpang popularitinya. Saya tahu, karier seseorang artis yang suka menumpang populariti orang lain, mudah jatuh dan tidak tahan lama.

"Peminat bukan bodoh kerana mereka tahu menilai mana baik, bagus dan tidak suka artis hipokrit. Disebabkan itu, saya mahu dikenali dengan kerja saya, bukan benda lain. Berbekalkan kerja keras dan tidak mudah putus asa, saya yakin dapat mengukir nama dalam industri," katanya.

Berkaitan perkembangan seni, beritahu Chaq, dia dalam proses mengumpul bahan untuk album sulungnya yang dijangka siap tahun depan. Memuatkan lima lagu, Chaq berharap ia dapat memenangi hati peminat muzik tempatan.

"Ketika ini, saya baru saja hantar single Penjelasan 1 Persatu ciptaan abang Ajai ke stesen radio Hot FM dan Era.fm. Gembira berada di bawah naungannya kerana dia tidak pernah membataskan kreativiti saya. Malah, diberi pula peluang melontarkan idea untuk kebaikan bersama. Besar harapan saya agar album ini dapat diterima ramai," katanya.

0 comments: