CHAT ROOM CHAQ ULTIMATE ZONE

BERITA HARIAN : Format baru Mentor menghiburkan

Oleh Zaidi Mohamad


GAMBAR kiri, EVO dan mentornya, Jaclyn Victor mengalunkan lagu Pergi Untuk Kembali. Gambar kanan, PERSEMBAHAN duet Fira dan Lah menerusi lagu Jangan Ada Dusta Di Antara Kita.

Pembaharuan yang diperkenalkan produksi mampu pikat penonton TV3

SEPERTI kebiasaan sebelum ke peringkat separuh akhir, mana-mana peserta sesebuah pertandingan akan disaring terlebih dulu. Itu fasa biasa yang akan dilalui bagi mencari peserta yang betul-betul layak bertanding. Demikian juga yang terjadi kepada pertandingan Mentor musim ketiga yang sudah menerjah ke musim ketiga.

Enam protege yang terbabit musim ini perlu melalui tiga siri konsert persembahan bagi menentukan dua peserta yang mendapat markah tertinggi daripada setiap kumpulan untuk bersaing ke separuh akhir. Mereka akan dinilai daripada tiga skala pemarkahan iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus lagi melalui juri awam.

Juri awam ini terdiri daripada rakan media, penerbit rancangan, pelajar jurusan muzik dan golongan semi profesional dalam bidang muzik. Memperkenalkan kuasa juri awam ini adalah antara corak perubahan yang diperkenalkan pada musim terbaru ini. Begitu juga dengan menampilkan wartawan Melodi, Nas Ahmad untuk mengorek kisah sensasi di sebalik tabir apa yang terpendam dan berlaku di kalangan protege dan mentor yang terbabit.

“Kalau ada yang berpandangan segmen bersama Nas Ahmad ini mengganggu fokus protege dan mentor, memang itulah fungsi Nas yang bertujuan ‘mengganggu’ apa saja yang mungkin dan bakal terjadi di belakang pentas atau di kalangan mentor dan protege.

“Tugasnya itu berlaku secara spontan dan tidak terlalu terikat dengan skrip bagi bertanyakan apa juga maklum balas, perasaan dan apa saja yang mungkin boleh dicungkil buat tatapan penonton program Mentor. Jika tahun lalu kita menjemput artis sebagai penyanyi undangan, kali ini, demi terus mencipta kelainan, kita menjemput peserta uji bakat yang tidak berpeluang sertai Mentor membuat persembahan,” kata Penerbit dan Pengarah Mentor musim ini, Muhamad Sufian Isa.

GAMBAR kiri, AJAI yakin dan percaya bakat semula jadi Chaq tidak dibayangi adiknya, Stacy. Gambar kanan, ZAINAL dan Cat menyifatkan protege kumpulan A mempunyai variasi julat suara yang berbeza dan baik.

Menurut Sufian lagi, biarpun baru dua konsert dipersembahkan, konsert showcase pengenalan pada dua minggu lalu mencatatkan kejayaan membanggakan apabila mendapat rating sebanyak 2.9 juta. Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk produksi program ini duduk selesa.

Malah katanya lagi, apabila mengendalikan program secara langsung, pelbagai kemungkinan bakal terjadi. Begitulah yang terjadi pada konsert kedua membabitkan protege kumpulan A, kumpulan Evo, Fira dan Chaq. Antaranya seperti masalah audio dan kelemahan prop yang hampir terjatuh sewaktu persembahan Fira bersama mentornya, Lah Ahmad.

“Biarpun, pihak kami berpuas hati dengan konsert kedua termasuk beberapa pembaharuan yang diperkenalkan, kami tak boleh nafikan masih ada banyak ruang yang perlu diperbaiki termasuk aspek produksi dan persembahan. Bagaimanapun, ini adalah permulaan yang baik untuk kami,” kata Suffian sambil memberitahu lagu yang dipilih adalah daripada perbincangan mentor, protege dan mendapat persetujuan produksi.

Ahad lalu, protege kumpulan A, Fira (mentornya, Lah Ahmad), Chaq (Ajai) dan kumpulan Evo (Jaclyn Victor) meneruskan permulaan perjalanan mereka dengan melakukan tugasan menyanyikan dua buah lagu termasuk berduet dengan mentor masing. Juri profesional yang diundang ialah Zainal Abidin dan Cat Farish.


Calon kegemaran, Chaq yang juga abang kepada juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy mengungguli carta peratusan apabila mendapat 67.9 markah, diikuti Evo (56.4) dan Fira (39.7). Tiada penyingkiran yang akan terjadi buat masa ini kerana protege yang mendapat markah terendah masih berpeluang menebus kekecewaan pada konsert seterusnya.

Ditanya kepada Ajai, apakah kelibat Chaq atau nama sebenarnya Camellus De’lelli Anam dibayangi populariti Stacy hingga berjaya mendapat peratus yang tertinggi, komposer itu mempunyai jawapannya. Katanya, kalau Chaq tidak mempunyai bakat, mana mungkin dia akan mengambilnya sebagai peserta Mentor.

“Melalui proses uji bakat, biarpun yakin dengan bakat yang ada padanya, saya masih terus menguji kemampuannya dengan beberapa peserta yang sudah disenarai pendek. Dia antara yang terbaik, lalu demi mencari kelainan dan berpengalaman sebagai penerbit, saya tahu dia ada kualiti untuk diketengahkan sebagai penyanyi.

“Dan misi saya kali ini ialah mencari penyanyi yang boleh menari dan ia ada pada dirinya. Bagi saya muzik adalah perihal perkongsian. Saya juga berkongsi muzik dengan Chaq, malah saya akui turut belajar daripadanya terutama bab menari.

“Soal menang atau kalah, ia antara saya dengannya dan semuanya masih terlalu awal untuk diperkatakan. Saya tak rasa dia dibayangi Stacy, saya tak kisah kalau pun ada yang anggap dia abang Stacy, maka itu kelebihan yang mungkin ada padanya. Kita tak boleh menidakkan hubungan yang terjalin antara mereka dan apa yang penting, saya mengambilnya kerana bakat yang ada padanya,” kata Ajai.

Sementara itu, Jaclyn Victor memberitahu dia dan mentornya, kumpulan Evo yang dianggotai Khairul Najmuddin Abu Samah (Hyrul) dan Halhusani Razmi (Sani) mengambil serius setiap pandangan bernas yang dilontarkan pengkritik. Menjawab kepada persoalan ketidakseimbangan kolaborasi mereka, penyanyi lagu Gemilang itu menjelaskan bahawa Sani tidak sihat.

“Mereka sudah membuat yang terbaik dan saya yakin mereka boleh melakukan yang lebih baik lagi pada masa mendatang. Ia satu permulaan yang baik dan mendapat markah 56.4 peratus itu satu pencapaian yang memuaskan. Zainal dan Cat tahu apa yang mereka komen, lalu, kami akan ambil perhatian setiap komen yang dilemparkan itu,” kata Jaclyn Victor.

Manakala Lah Ahmad pula yakin dengan kebolehan protegenya, Fira atau nama sebenarnya, Hunanis Zafira Huzaini. Tidak dinafikan vokal Fira cukup hebat, namun, kata Lah, biarpun mendapat peratus paling corot, anak didiknya sudah melakukan yang terbaik.

“Selepas ini, dia harus bijak mencuri peluang di antara kelas tarian dan vokal yang dihadirinya. Kami terima markah itu dengan reda,” kata Lah ringkas.

INFO: Mentor 3

  • Disiarkan setiap hari Ahad jam 9 hingga 10.30 malam

  • Jurnal Mentor disiarkan setiap Ahad jam 5.30 hingga 6 petang, manakala Jurnal Protege disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam

  • Ahad depan, giliran protege kumpulan B, Keena (Mentor, Awie), Thye (Adibah Noor) dan Black (Mas Idayu) pula untuk berentap menunjukkan kehebatan masing-masing.

  • Dihoskan oleh Ally Iskandar.
  • 0 comments: