CHAT ROOM CHAQ ULTIMATE ZONE

METRO : 'Ini baru pengenalan'

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap " KEJAYAAN Chaq atau Camellus De'lelli Anam, 20, mengumpul markah tertinggi 67.9 peratus mungkin satu permulaan baik. "

Chaq protege kepada penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Maas atau Ajai menampilkan persembahan bertenaga pada konsert pertama Kumpulan A, Mentor musim ketiga yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam malam kelmarin.

Biarpun masih terlalu awal untuk menilai kemampuan peserta yang bertanding menerusi program itu namun setiap mereka ternyata mempunyai kekuatan dan keistimewaan masing-masing.

Selain Chaq turut bersaing dalam kumpulan A ialah Hunanis Zafira Huzaini (Fira) protege kepada Lah Ahmad yang mengumpul 39.7 peratus markah.

Penampilan kumpulan Evo yang dianggotai Khairul Najmuddin Abu Samah (Hyrul) dan Halhusani Razmi (Sani) protege Jaclyn Victor berjaya memungut 56.4 peratus markah.

Persembahan solo dimulakan oleh Fira yang menyampaikan lagu Merisik Khabar, manakala Chaq menerusi lagu Terima Kasih Cinta sementara Evo memilih lagu medley Cindai dan Seindah Biasa.

Ajai ketika diminta mengulas persembahan itu berkata, ia baru pengenalan buat peserta yang bertanding malah persaingan masih terbuka. Begitupun dia puas hati dengan komitmen yang ditunjukkan peserta.

"Pada saya kepuasan mengajar dan bekerja menjadi keutamaan dalam pertandingan ini. Soal ganjaran atau hadiah adalah kemudian. Saya sedar masih banyak yang perlu dipelajari oleh setiap peserta. Penyertaan menerusi program ini juga sebagai usaha untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

"Sebagai mentor kepada Chaq saya juga melalui proses pembelajaran. Saya dapat mempelajari ilmu tarian daripadanya. Chaq pula berkongsi daripada pengalaman yang saya dalam bidang seni.

"Sebagai mentor kami sentiasa berbincang dan memberi pandangan kepada setiap protege yang bertanding walaupun berlainan mentor.

"Pada saya mentor tidak bertanding sebaliknya ilmu dan bimbingan kepada protege itu perlu dititik beratkan," katanya.

Ajai turut menyanyi dan menari menerusi lagu Gagap yang dipopularkan oleh Stacy yang juga adik kepada Chaq.

Bagi Jaclyn Victor yang turut berduet bersama kumpulan Evo menerusi lagu Pergi Untuk Kembali bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Ajai malah memaklumkan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan dipelajari oleh setiap peserta.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan mereka. Biarpun memperoleh markah sedemikian ia satu permulaan baik buat mereka. Setiap kritikan yang diberikan oleh juri profesional juga perlu diambil kira secara positif," katanya.

Manakala Lah pula mahu protegenya berkerja lebih gigih untuk persembahan akan datang bagi mengumpul markah yang lebih tinggi supaya layak bersaing ke peringkat seterusnya.

"Untuk persembahan akan datang kami perlu bekerja lebih kuat. Saya berpuas hati dengan nyanyian Fira begitupun dia perlu berlatih lebih gigih untuk penampilan di atas pentas," kata Lah yang menyanyi lagu duet bersama Fira berjudul Jangan Ada Dusta di Antara Kita.

Saingan kumpulan B pada konsert minggu depan pula menyaksikan Suriana Abudul Wahab (Keena) protege kepada Awie, Tahiruddin Sain (Thye)/ Adibah Noor dan Hanifah Md Hanafiah (Black)/ Mas Idayu.

Sementara itu Penerbit dan pengarah, Muhamad Sufian Isa berkata, program realiti musim baru stesen televisyen itu turut menampilkan beberapa perubahan dari segi pengisian dan format rancangan.

"Program ini baru bermula dan baru berlangsung konsert kedua. Mungkin ada beberapa perubahan yang ketara daripada protege dan mentor. Ia satu permulaan yang baik. Malah kami dimaklumkan mendapat respon yang baik ketika konsert showcase pertama minggu sebelumnya apabila berjaya menarik sebanyak 2.9 juta menonton rancangan ini.

"Masalah biasa dihadapi dari segi teknikal dan persembahan apabila membabitkan program secara langsung. Setakat ini, kami masih berusaha memperbaiki kelemahan membabitkan penggunaan props dan masalah audio setiap kali program berlangsung," katanya.

Tambahnya, penampilan wartawan sensasi, Nas Ahmad yang mengendalikan segmen di belakang pentas adalah sebahagian daripada pembaharuan untuk program itu.

Menurut Sufian tidak timbul soal menjejaskan tumpuan peserta yang bertanding dalam program itu sebaliknya kehadiran Nas Ahmad sememangnya untuk tujuan itu.

"Kita sebelum ini banyak terlepas beberapa aksi dan reaksi peserta yang bertanding terutamanya bagi program realiti. Justeru peranan Nas Ahmad adalah menampilkan apa yang berlaku selain berkongsi suasana di belakang pentas ketika berakhir setiap persembahan peserta bersama penonton.

"Kalau kata mengganggu tumpuan peserta di belakang pentas. Memang itulah peranan yang mahu diberikan kepada Nas Ahmad," katanya.

Persembahan peserta dinilai oleh juri profesional, Zainal Abidin dan Cat Farish. Sistem pemarkahan peserta diadili berdasarkan tiga bahagian iaitu 50 peratus oleh juri profesional, undian SMS penonton (30 peratus) dan juri awam yang terdiri daripada juri awam (pelajar muzik, wartawan dan golongan semi-profesional yang berada di studio (20 peratus).

Setiap peserta diberi peluang membuat persembahan sebanyak tiga kali mengikut kumpulan masing-masing. Setiap markah yang dipungut daripada konsert itu akan menentukan kemaraan peserta ke peringkat separuh akhir. Peserta yang memungut markah terendah akan disingkir.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva dan mentor meraih RM100,000 manakala naib juara menerima wang tunai RM30,000.

0 comments: