CHAT ROOM CHAQ ULTIMATE ZONE

Mentor 3: Chaq Pilihan Peminat

by Miss Ayu | 11 May 2009



Mentor musim ketiga telah pun memulakan saingannya malam kelmarin. Sebelum itu, semua mentor dan protege telah pun diperkenalkan pada konsert showcase yang diadakan pada 3 Mei lalu.

Musim terbaru ini, protege Mentor dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan B. Kumpulan A terdiri daripada Fira, protege kepada Lah Ahmad, Chaq, protege kepada Ajai dan Kumpulan Evo, protege kepada Jaclyn Victor. Manakala kumpulan B terdiri daripada Keena, protege kepada Awie, Thye, protege kepada Adibah Noor dan Black, protege kepada Mas Idayu.

Malam kelmarin, kumpulan A telah pun berentap sesama sendiri bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir. Setiap protege telah menyanyikan dua buah lagu iaitu sebuah lagu solo dan sebuah lagu duet bersama Mentor masing-masing.

Persembahan duet daripada Jaclyn Victor dan anak buahnya, Kumpulan Evo, mendendangkan lagu “Pergi Untuk Kembali” paling menghiburkan. Begitu juga dengan persembahan solo daripada Chaq. Protege Ajai ini mampu mengawal suara dengan baik ketika menyampaikan lagu “Terima Kasih Cinta” sehingga membuatkan ramai gadis di auditorium terpesona dengan persembahannya.

Fira, protege kepada Lah Ahmad pula dilihat terlalu berhati-hati dalam membuat persembahan. Dia nampak tidak selesa dengan busana yang dikenakan. Mungkin kerana baju yang dipakai terlalu labuh sehingga menyukarkannya untuk melangkah. Kesukaran yang dialami Fira jelas terlihat apabila dia hampir jatuh apabila terpijak gaun yang dipakai ketika berduet bersama Lah mendendangkan lagu “Jangan Ada Dusta Di Antara Kita”.

Keputusan undian konsert malam kelmarin menyaksikan Chaq berada di tempat teratas dengan undian sebanyak 67.9 peratus, diikuti oleh Kumpulan Evo, 56.4 peratus dan Fira di tempat ketiga dengan 39.7 peratus.

Secara keseluruhan, persembahan malam itu agak memuaskan walaupun berlaku beberapa kesilapan teknikal yang agak mengganggu perjalanan program tersebut. Paling mengecewakan ialah sistem audio di Dewan Auditorium Menara MBSA sehingga menyebabkan penonton tidak mendengar dengan jelas nyanyian protege.

Menurut Penerbit dan Pengarah Mentor musim ketiga, Muhamad Sufian Isa, kesilapan teknikal itu memang disedari oleh pihak produksi dan dia memandang serius dengan kesilapan itu. Bagaimanapun, masalah audio itu hanya berlaku di dewan auditorium, tidak kepada penonton di rumah.

“Saya akui sistem audio tidak berapa bagus tadi, tetapi setelah kami selidiki, masalah itu hanya berlaku di dewan ini, tidak kepada penonton di rumah. Bagaimanapun, kami akan pastikan masalah ini tidak berulang pada minggu-minggu yang akan datang.”

Sufian juga diminta mengulas tentang kehadiran Nas Ahmad sebagai wartawan di sebalik tabir, segmen baru pada musim ini.

“Penampilan Nas Ahmad untuk Mentor musim ini adalah bertujuan untuk menampilkan kelainan. Tugas Nas adalah untuk menganggu mereka yang berada di belakang pentas. Soalan-soalan yang diajukan kepada setiap protege adalah secara spontan bukan daripada skrip. Setakat ini kemunculan Nas mendapat respon yang baik daripada penonton,” ujar Sufian semasa ditemui selepas konsert.

Terdapat sedikit perubahan dari segi format bagi Mentor musim ini. Markah akan diberikan melalui tiga bahagian iaitu 50 peratus dari juri profesional, 30 peratus melalui undian SMS dan 20 peratus lagi melalui juri awam yang terdiri daripada pelajar-pelajar jurusan muzik, wartawan hiburan, penerbit rancangan dan golongan semi-profesional dalam industri muzik.

Setiap protege akan diberi peluang membuat persembahan sebanyak tiga kali mengikut kumpulan masing-masing melalui konsert yang diadakan secara berselang-seli di antara kumpulan A dan B. Hanya dua protege daripada setiap kumpulan yang akan ke separuh akhir.

*sumber dr www.gua.com.my

0 comments: